top of page
muinsapidin

Wan Mohammad Khair-il Pemimpin Penyabar

KUALA KANGSAR: Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang masih hilang dalam nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu, merupakan pemimpin yang komited dan penyabar.

Operasi mencari tiga lagi mayat mangsa nahas sedang giat dilakukan.

Perkara itu diakui Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Maslan yang mengenali Wan Mohammad Khair-il sejak 20 tahun lalu.

"Dia bukan jenis pemimpin cacamarba dan hentam keromo. Dia bermula sebagai anggota jawatankuasa bahagian, ketua pemuda dan seterusnya Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar.

"Saya kenal beliau semasa menjadi Ahli Kelab Umno Luar Negara dan sering bertemu semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Wan Mohamad Khair-il Anuar di Bukit Chandan dekat sini Sabtu.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap sesuatu yang luar biasa akan berlaku dan semua mangsa yang terbabit dalam tragedi itu ditemui secepat mungkin.

Mengenai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon yang meninggal dunia dalam nahas itu, Ahmad berkata Allahyarham merupakan pemimpin yang profesional serta berkalibar.

Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12 Sungai Burong kira-kira 2 pagi Sabtu. - BERNAMA


9 views0 comments
bottom of page