top of page
muinsapidin

Noriah Tak Sedap Hati, Rela Naik Kereta

PETALING JAYA: Datuk Noriah Kasnon pada mulanya lebih rela menaiki kereta, sekalipun perjalanan itu memakan masa, disebabkan beliau tidak sedap hati menaiki helikopter.

Pendedahan itu dibuat anak saudara Noriah, Ummu Hani Assaidah Abdullah, 30, yang mendapat tahu perkara berkenaan daripada ibunya yang dihubungi Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu beberapa minit sebelum beliau berlepas.

“Emak saya beritahu yang Noriah tidak mahu menaiki helikopter sebab takut (tidak sedap hati).

Dia (Noriah) nak naik kereta,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Noriah yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar sempat memuat naik status di akaun Facebook ‘Nur Nin’ yang berharap rombongannya selamat mendarat di Betong.

Dalam pada itu, Wan Mohd Khir Johari Wan Ahmad yang merupakan adik kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar merasakan abangnya yang turut menaiki helikopter itu, selamat.

“Ikutkan gerak hati, saya rasa abang saya selamat. Petang tadi, sekitar pukul 3.15 petang, saya sempat berbalas mesej dengannya. Namun selepas maghrib, saya menerima panggilan seorang sahabat dari Pejabat Menteri Besar yang memberitahu insiden ini.

“Saya cuba menelefon abang saya berkali-kali, tetapi dia tidak dapat dihubungi dan kali terakhir saya cuba menghubunginya ialah pada pukul 9.25 malam,” katanya.

Sebuah helikopter yang dipercayai membawa lima penumpang terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara di Betong, Sarawak petang semalam.

Mereka terdiri daripada Noriah dan suaminya, Ketua Setiausaha Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Wan Mohammad Khair-il Anuar dan pengawal peribadi Noriah.

Helikopter yang disewa khas Hornbill Skyways itu dikendalikan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas dan dikatakan berlepas dari padang Sekolah Menengah Kebangsaan Spaoh, Betong, pada jam 4.12 petang semalam.

Bagaimanapun, helikopter itu dikatakan terputus hubungan pada jam 4.32 petang, ketika menghampiri kawasan Triso, Sebuyau.


32 views0 comments
bottom of page