KUCHING - Mayat kelima nahas helikopter yang berjaya ditemui jam petang tadi disahkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Dato' Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Pengesahan itu dibuat berdasarkan cap jari dan pengecaman oleh anggota keluarga.
Mayat yang dalam keadaan sempurna itu dijumpai oleh pasukan polis Marin dan dibawa ke Pusat Operasi SAR di Jeti Dewan Masyarakat Lingga pada pukul 6.50 petang.
"Bedah siasat dijangka akan dilakukan esok dan akan terus dibawa ke Kuala Kangsar untuk pengkebumian," kata seorang ahli keluarga terdekat.
Penemuan terbaharu itu menjadikan hanya tinggal seorang lagi mangsa helikopter terhempas yang masih belum dijumpai.
Sementara itu, pesawat yang menerbangkan jenazah Allahyarham dijangka mendarat di lapangan terbang Sultan Azlan Shah pada jam 4.30 pagi Ahad.
Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Datuk Saarani Mohamad berkata jenazah seterusnya akan dibawa dengan kereta ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Menurutnya solat jenazah akan dilangsungkan selepas solat subuh. - Suara Perak