ADUN Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan menganggap pemergian Orang Besar Jajahan Batang Padang, Allahyarham Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat di daerah Batang Padang.
Katanya, ini kerana Allahyarham semasa hayatnya sentiasa mengambil berat tentang soal kebajikan masyarakat terutama golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau berkata, antara jasa besar Allahyarham ialah kejayaannya mewujudkan pusat latihan OKU dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) di Tapah. "Allahyarham merupakan seorang yang amat disenangi masyarakat kerana mudah dibawa berbincang terutama dalam soal-soal kebajikan masyarakat. ``Justeru itulah jasa Allahyarham sentiasa dikenang oleh masyarakat dalam Daerah Batang Padang,'' katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil. Sementara itu anak sulungnya, redha atas pemergian bapanya yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa membantu masyarakat yang memerlukan pertolongan. "Arwah semasa hayatnya banyak membantu golongan OKU selain fakir miskin yang memerlukan bantuan,’’ katanya.