KOTA BHARU - Tiada jadual penerbangan helikopter di Sarawak digantung walaupun berlaku nahas membabitkan pengangkutan itu di negeri ini semalam, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata Pusat Kawalan Trafik Udara akan berterusan membuat pemantauan terhadap pelbagai perkara berkaitan penerbangan termasuk keadaan cuaca semasa.
"Tiada (penerbangan helikopter digantung). Pusat Kawalan Trafik Udara masih mengawal selia semua kawalan lalu lintas dengan lancar. Tiada masalah dari segi penerbangan. Cuaca pun baik dan sebagainya, tiada masalah (pada masa sekarang)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Wisma MCA, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong dan Pengerusi MCA Kelantan Tan Ken Ten. - Bernama