top of page
muinsapidin

Penduduk Jumpa Ular Sawa Bersama 90 Biji Telur

TELUK INTAN - Seorang penduduk kampung yang sedang membersihkan kawasan kebunnya dikejutkan dengan penemuan seekor ular sawa bersama dengan 90 biji telur pada pagi Rabu.

Maasom Mahpudz, yang pada ketika itu sedang asyik membersihkan semak kebun tergamam apabila terserempak dengan kelibat reptilia tersebut di bawah sebuah pokok nibong.

Katanya, beliau bernasib baik kerana sempat menyedari kehadiran ular seberat 90 kilogram yang sedang bersembunyi di kawasan rimbunan kayu itu.

"Sejurus selepas itu, saya terus menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kerana saya yakin kesemua penduduk kampung tidak mempunyai kepakaran dan kelengkapan menangkar ular.

"Tambahan pula, ular sawa jenis batik ini saya lihat pada awalnya memang besar dan mustahil kami dapat mengeluarkannya tanpa bantuan JPAM," katanya kepada pemberita.

Penemuan ular sepanjang kira-kira 5 meter itu menarik perhatian penduduk Kg Sg Kerang kerana jarang ditemui ular sawa sebesar itu sebelum ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, SM (PA) Mohd Fazly Mohd Nawawi berkata, ular tersebut berjaya ditangkap dalam masa 20 minit dengan kerjasama penduduk.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan sekitar 9.20 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

"Sesampainya di lokasi, didapati ular sawa jenis batik itu sedang bersembunyi di bawah akar pokok nibong dan pihak bomba telah menjalankan kerja-kerja pengeluaran dengan segera.

"Kami juga menemui 90 biji telur bersama dengan ular tersebut," katanya kepada Suara Perak.

Mohd Fazly berkata, ular dan semua telur itu telah diserahkan kepada Pejabat Perhilitan Daerah Hilir Perak bagi tindakan selanjutnya.


33 views0 comments
bottom of page