KUANTAN - Air paip rasa payau dan masin! Itu yang dilalui penduduk di beberapa kawasan di daerah ini yang mendakwa bekalan air paip yang diterima berubah rasa. Akhirnya, air mineral menjadi alternatif kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan minuman.
Mereka bukan sahaja mendakwa air yang diminum berasa payau dan masin, malah turut tidak puas serta cepat dahaga, sehingga memaksa mereka minum lebih dari biasa.
Seorang pekerja, Zakaria Abdul Rahim, 30, menambah botol air mineral ke dalam peti sejuk.
Gambar kanan: Bekalan air mineral di kedai runcit Zalina mencukupi untuk penuhi permintaan.
Nurul Hashima Mohd Zakaria, 27, berkata, sejak beberapa minggu lalu, bekalan air paip di rumahnya masin dan payau, namun disebabkan tiada kesan sampingan dia masih lagi menggunakannya sebagai minuman.
“Walaupun air payau, saya minum juga, tapi cepat rasa dahaga. Saya juga rasa tak puas minum walaupun berkali-kali meneguknya.
“Saya harap air yang diminum ini tak mendatangkan kemudaratan kerana kami tidak mempunyai pilihan lain sebab air mineral di kedai cepat habis,” katanya.
Bagi Zaidatul Abdul Rahman, 35, dia berharap agar masalah air bertukar rasa dapat diselesaikan segera.
“Ini pertama kali berlaku, walaupun dimaklumkan air itu tak mudarat tetapi sebagai pengguna, saya mahukan perkhidmatan terbaik untuk bil yang dibayar tiap bulan. Saya juga terpaksa sedia duit beli air mineral yang banyak. Bajet bulanan juga meningkat,” katanya.
Sementara itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan air terawat yang disalurkan kepada pengguna di daerah ini selamat diminum.
Pengawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Paip, Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, disebabkan paras air Sungai Kuantan di muka sauk di Kobat rendah, pihaknya mengesan kemasukan air masin ketika air laut pasang.
Jualan air mineral laris
Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Indera Mahkota mendapati jualan air mineral antara yang laris sehingga pelanggan terpaksa menunggu bekalan seterusnya.
Peniaga kedai runcit, Zalina Chik berkata, meskipun air mineral menjadi pilihan penduduk ketika musim panas, bekalan air di kedainya mencukupi untuk pelanggan.
“Air mineral tak pernah putus di kedai saya ini. Pelanggan boleh datang beli sebotol ataupun sekotak mengikut kehendak,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di Beserah dan Bukit Rangin pula mendapati penjualan air mineral di kedai runcit dan pasar raya meningkat sekali ganda sejak Januari lalu berikutan cuaca panas dan kering akibat El-Nino.
Seorang peniaga mini pasar raya di Beserah, Ng Hock Seng, 63, berkata, kebiasaannya hanya 120 botol air mineral (1,500ml) dijual setiap hari namun meningkat kepada 240 sehari.
Menurutnya, cuaca panas menyebabkan orang ramai minum air mineral lebih kerap terutama yang sejuk.
“Di Kuantan terdapat juga kawasan air paip berasa masin, jadi penduduk membeli air mineral untuk kegunaan minum di rumah.
“Saya jangka penjualan air mineral untuk bulan puasa tidak jauh berbeza kerana orang hanya minum waktu malam,” katanya.
Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Bukit Rangin, Mohd Mason Mustak, 43, berkata, sebelum musim panas penjualan air mineral hanya lingkungan 30 botol sehari.
Menurutnya, penjualan meningkat sehingga 60 botol dan kebanyakan pelanggan mahu air mineral sejuk.
“Pekerja kedai kena sentiasa periksa tempat air mineral di dalam peti sejuk dan ditambah supaya pelanggan akan cari yang sejuk,” katanya.