top of page
muinsapidin

Pencerobohan Punca Bukit Merah Kering - Jangan Cepat Buat Kesimpulan

BUKIT MERAH - Kawasan kolam tadahan Bukit Merah sentiasa di bawah pemantauan kerajaan negeri termasuk memastikan tiada berlaku insiden pencerobohan yang boleh menjejaskan paras air menyusut.

‎Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan kerajaan negeri sentiasa membuat pemantauan kerana sedar tadahan Bukit Merah merupakan sumber bekalan air penting.

Justeru, beliau meminta tidak ada pihak yang sewenag-wenangnya membuat kesimpulan seolah-olah masalah pencerobohan merupakan satu-satunya penyebab kolam tadahan Bukit Merah ‎mengalami kekeringan. Katanya, beliau ada menerima laporan daripada Jabatan Hutan tetapi perlu melihat secara keseluruhan sekiranya laporan itu ada kene mengena dengan penurunan paras air di kolam Bukit Merah.

Namun laporan itu tidak boleh dijadikan faktor utama atau satu-satunya penyebab kolam tadahan Bukit Merah terjejas. "Kita perlu teliti laporan ini terlebih dahulu. Sebelum ini pun saya ada nyatakan berkali kali masalahnya bukan hanya di Bukit Merah sahaja tetapi melibatkan juga kawasan-kawasan luar umpamanya Selama dan Batu Kurau,’’ katanya. Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kawasan sawah dan meninjau kolam tadahan Bukit Merah pada Isnin. Katanya, pemantauan di kawasan sekitar kolam tadahan Bukit Merah akan terus dilakukan oleh kerajaan negeri melalui jabatan-jabatan yang berkaitan bagi mengesan punca permasalahan yang berlaku di kolam tadahan itu.

"Walau bagaimanapun kita akan terus membuat pemantauan ini dan langkah-langkah yang perlu dilakukan iaitu langkah jangka pendek dan langkah jangka panjang serta untuk atasi masalah kekeringan yang berlaku di kawasan Kerian.’’ katanya. Menurut Dr Zambry, di Kerian terdapat dua kes ekstrim yang berlaku berkaitan dengan suasana alam sekitar iaitu dari segi taburan hujan dan juga ketiadaan hujan. "Sekiranya berlaku taburan hujan, banjir besar dikhuatiri akan berlaku berikutan aliran air yang tidak dapat mengalir ke muara laut dengan cepat,’’ katanya. Selain itu, katanya, turut terjejas teruk adalah kawasan-kawasan sawah di sekitar kawasan Kerian kesan daripada cuaca kering El Nino yang melanda hari ini . Laporan akhbar tempatan semalam menyebut pencerobohan kawasan hutan simpan seluas kira-kira 500 hektar di sekitar kolam takungan Bukit Merah dipercayai antara punca takungan air di Empangan Bukit Merah terjejas. Menurut Anggota Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali, pencerobohan kawasan terutama di Kampung Selamat serta Hutan Simpan Pondok Tanjung itu dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu untuk pertanian.​

"Fungsi zon penampan ini menyimpan air pada musim kemarau dan apabila Empangan Bukit Merah menyusut, air dari sini akan mengalir ke kolam takungan. "Pencerobohan menyebabkan ekosistem, pemendapan di dasar tasik menjadi cetek dan apabila hujan lebat menyebabkan banjir kerana pokok yang menjadi penampan air sudah ditebang," katanya selepas meninjau kawasan pencerobohan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) di Bukit Merah kelmarin.


14 views0 comments
bottom of page