TAMPIN – Setelah 10 hari menunggu pihak bertanggungjawab membaik pulih beberapa lokasi yang dikenal pasti mengundang risiko kepada pengguna jalan raya, badan sukarela, Brotherhood Negeri Sembilan (N9) nekad mengambil tindakan sendiri menandakan jalan berlubang dengan cat putih di sekitar Pekan Tampin.
Wakilnya, Mohamad Ali Abdul Latif, 28, berkata, pada 21 April lalu, wakil mereka telah membuat aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui emel dan pihak berkenaan menyatakan kawasan di sekitar Pekan Tampin dan juga berhampiran Stadium Mini Tampin adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).
Mohamad Ali menunjukkan salah satu lokasi jalan rosak yang telah ditandakan
oleh Brotherhood N9 di pekan Tampin.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan aduan itu bakal dipanjangkan oleh JKR kepada PBT, bagaimana pun sehingga ke 1 Mei, tiada tanda-tanda kawasan jalan yang berlubang dan merbahaya berkenaan bakal dibaik pulih oleh pihak bertanggungjawab.
“Jadi, ahli kita ambil inisiatif membeli cat putih dan menandakan kawasan berisiko sebagai amaran kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. Bagaimanapun, kita amat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat membaik pulih segera kawasan yang telah ditandakan ini bagi keselamatan pengguna.
“Kita tidak sesuka hati terus menandakan kawasan jalan rosak ini dan melakukan vandalisme. Hanya contengan yang dipersetujui JKR sahaja yang dibuat oleh kita termasuk tulisan AWAS,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pekan Tampin, di sini, semalam.
Mohamad Ali berkata, sebelum ini Brotherhood N9 telah membuat aduan jalan rosak di jambatan Muar berhampiran jalan masuk Kampung Kurnia Diraja, dan tindakan segera membaik pulih jalan berkenaan dilaksanakan tanpa perlu mereka menandakan lokasi jalan rosak berkenaan.
Menurutnya, tindakan pantas itu amat dialu-alukan lebih-lebih lagi dapat mengelakkan risiko kemalangan kepada penunggang motosikal.
“Terbaru kejadian pada malam tadi di Kuala Lumpur sepasang suami isteri kemalangan berhampiran pam minyak disebabkan terlanggar lubang dan salah seorangnya kini mengalami kecacatan kekal. Kita tidak mahu kejadian berkenaan berlaku di sini disebabkan jalan rosak serta berlubang terlalu lama di sini tanpa dibaik pulih.
“Ada antara hampir 10 lokasi yang telah ditanda sudah lebih tiga bulan rosak dan sehingga kini masih belum dibaik pulih,” katanya.