top of page
muinsapidin

Kerajaan Negeri Diminta Giatkan Pembenihan Awan

IPOH - Kerajaan Negeri digesa mempergiatkan aktiviti pembenihan awan bagi membantu pesawah Selinsing dan Semanggol mendapat bekalan sumber air mencukupi daripada kolam tadahan Bukit Merah. ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat membuat gesaan itu bagi membolehkan pesawah mengusahakan sawah mereka dalam masa terdekat ini. Menurutnya aktiviti pembenihan awan itu dapat memastikan taburan hujan dapat dipertingkatkan sekaligus menaikkan paras air kolam tadahan.

Beliau menyambut baik kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam supaya usaha-usaha pembenihan awan ini dapat dipertingkatkan meningkatkan dalam usaha memastikan bekalan air dapat dibekalkan terus kepada para pesawah di sekitar Selinsing dan Semanggol. Menurut Sham, ketika ini terdapat 1,830 pesawah di kawasan G dan H Selinsing dan Gunung Semanggol yang tidak dapat mengusahakan sawah mereka yang seluas 4,697 hektar selama lebih tiga bulan kerana kemarau panjang dan cuaca kering akibat fenomena El-Nino. ``Saya harap usaha-usaha pembenihan awam ini dapat segera dilakukan bagi meningkatkan paras air di kolam Bukit Merah untuk dibekalkan ke kawasan sawah sekaligus membolehkan kesemua pesawah yang terlibat meneruskan penanaman semula padi mereka,’’ katanya. Dr Zambry dalam kenyataannya kepada media semalam berkata, pembenihan awan di kawasan kolam tadahan Bukit Merah akan diteruskan bagi meningkatkan taburan hujan dan paras air di kolam berkenaan. Katanya, perkembangan paras air terkini di kolam tadahan Bukit Merah mencatatkan peningkatan sebanyak 10 inci daripada 19.9 kaki kepada 20.7 kaki berdasarkan pemantauan yang dibuat sejak 25 April lalu. Bagaimanapun menurut Dr Zambry, pemantauan mengenai keadaan paras air di kolam tadahan itu akan terus dijalankan seperti biasa oleh setiap agensi kerajaan yang berkaitan. Dr Zambry juga memberitahu, memandangkan keadaan air di kolam tadahan Bukit Merah masih lagi terkawal maka kerajaan negeri menerusi Lembaga Air Perak (LAP) tidak bercadang untuk mengenakan catuan air sepertimana yang disarankan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini. Dalam konteks ini, Dr Zambry mencadangkan LAP membuat kajian mengenai kesesuaian perlaksanaan telaga River Bank Filteration (RFB) atau telaga air tepi sungai untuk menampung kegunaan air domestik terutama pada musim kemarau ekstrem. ``Cadangan ini merupakan antara inisiatif jangka masa panjang bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kolam tadahan Bukit Merah untuk kegunaan domestik sekaligus mengelak masalah catuan air,’’ katanya selepas melawat kawasan sawah padi di Kampung Tebuk Matau dan meninjau kolam tadahan Bukit Merah semalam. Menurut Dr Zambry, LAP sebelum ini telahpun berjaya mewujudkan sebuah telaga air bawah tanah menerusi perlaksanaan RFB di Kuala Kangsar. ``Perlaksanaan telaga RFB ini bermakna apabila air disedut daripada bawah tanah, air itu akan ditadah ke dalam satu kolam khas sebelum dirawat LAP untuk penyaluran kegunaan domestik. ``Saya meminta LAP melaksanakan kajian menyeluruh bagi memastikan telaga RBF boleh dilaksanakan di kawasan terjejas bekalan air di negeri ini.’’ Katanya. Katanya, menerusi perlaksanaan telaga River Bank Filteration di Sungai Perak, LAP berjaya menghasilkan kuantiti 25 juta liter air sehari. Dr Zambry berkata selain itu kerajaan negeri turut mengesyorkan inisiatif mewujudkan satu aliran baharu menyambung bekalan air melalui sebuah terowong dari Sungai Perak ke kawasan kolam tadahan Kolam Bukit Merah bagi memastikan kapasiti air empangan itu sentiasa mencukupi meskipun kemarau dan cuca kering akibat fenomena El-Nino. Menurutnya, cadangan pembinaan aliran khas sepanjang 15 kilometer itu melibatkan peruntukan kewangan yang besar bernilai hampir RM300 juta. Dr Zambry berkata, kerajaan negeri juga akan melihat kemungkinan mewujudkan kolam takungan besar khas bagi menyimpan air sungai untuk kegunaan pertanian apabila berlaku kemarau panjang dan cuaca akibat fenomena El-Nino. ``Penyediaan kolam takungan air besar khas itu daripada sumber air sungai yang dialir keluar ke laut, mungkin dapat dialihkan sedikit ke dalam kolam takungan khas berdekatan laut dan seterusnya digunakan untuk pengairan sawah padi pada musim kemarau,’’ katanya.


5 views0 comments
bottom of page