top of page
muinsapidin

Empat Kebakaran Dalam Sehari

KUALA BERANG - Sebuah kedai pakaian berhampiran simpang empat Jalan Sekayu nyaris musnah setelah salah satu bilik yang terletak di tingkat atas bangunan berkenaan terbakar, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7.25 malam itu turut menggemparkan orang ramai terutama pelanggan sebuah kedai makan berdekatan, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang menerima empat laporan kes kebakaran

melibatkan kawasan kebun, lalang, rumpun buluh dan premis perniagaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.31 malam dan bergegas ke lokasi menaiki sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota diketuai PBK II Mohd Nor Ali.

“Sebaik tiba, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah bilik yang menempatkan tilam dan pakaian. Bagaimanapun sewaktu pihak bomba tiba, api sudah dipadamkan orang awam.

“Dianggarkan hanya 10 peratus hingga 15 peratus yang terbakar termasuk tilam, pakaian, bahagian siling dan dinding bilik. Pihak bomba turut memastikan kebakaran dikawal sepenuhnya dan tidak merebak. Operasi tamat jam 8.15 malam,” katanya.

Mohd Zamri berkata, pihaknya turut menerima tiga lagi laporan kebakaran pada cuti Hari Pekerja yang berlaku di Kampung Temir, Kampung Chapu serta Kampung Tengkawang.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku di Kampung Temir melibatkan kawasan kebun kira-kira 1 hektar.

Katanya lagi, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan operasi tamat jam 2.04 petang.

“Seterusnya, kita menerima panggilan pada jam 3.17 petang yang memaklumkan berlaku kebakaran melibatkan kawasan lalang di Kampung Chapu. Kejadian membabitkan keluasan sekitar 0.2 hektar dan operasi tamat jam 4.10 petang.

“Pada jam 6.29 petang, kita sekali lagi menerima laporan kebakaran melibatkan rumpun buluh di Kampung Tengkawang. Operasi tamat jam 7.25 malam. Selang enam minit selepas itu, kita terima satu panggilan kebakaran di premis perniagaan. Dari Kampung Tengkawang, pasukan bomba bergegas ke lokasi kebakaran berhampiran simpang empat Jalan Sekayu pula,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zamri turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa pengawasan berikutan kemarau dan cuaca panas yang melanda negara sekarang.


24 views0 comments
bottom of page