BUKIT MERAH - Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perak perlu berbincang bentuk bantuan alternatif untuk diberikan kepada pesawah-pesawah di kawasan Selinsing yang terjejas pendapatan mereka akibat kemarau panjang sekiranya tidak bercadang mengisytiharkan kawasan Bukit Merah sebagai kawasan bencana.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bantuan alternatif itu perlu segera difikirkan kerana pesawah-pesawah di kawasan terbabit tidak boleh menyemai benih padi kerana ketiadaan air disebabkan kemarau panjang dan cuaca kering akibat Fenomena El-Nino.
Namun demikian, katanya, terdapat juga kawasan lain seperti Tanjung Piandang di mana pesawah masih boleh menanam padi, tetapi tidak di kawasan Selinsing.
``Apa yang saya harapkan agar kerajaan Persekutuan dapat berbincang dengan kerajaan negeri dan memikirkan cadangan yang boleh kita kemukakan secara bersama untuk membantu pesawah-pesawah yang terjejas ini," katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke kawasan tanaman padi dan kawasan kolam tadahan air Bukit Merah di Lake Town, Bukit Merah pada Isnin. Hadir sama ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Menurut beliau, ketika ini terdapat pesawah di kawasan Selinsing yang sudah terlepas musim penanaman padi berikutan ketiadaan air untuk disalirkan ke sawah mereka.
Katanya, sebelum ini, wakil-wakil rakyat di daerah itu juga turut menyuarakan perkara yang sama bagi membantu pesawah untuk jangka masa pendek.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan belum memutuskan untuk mengisytiharkan Bukit Merah sebagai kawasan bencana berikutan cuaca panas dan kering akibat Fenomena El-Nino.
Katanya, perkara itu perlu diteliti dari aspek perundangan dan kewangan terlebih dahulu.
Menurutya, kerajaan Persekutuan tetap prihatin dan memikirkan beberapa langkah yang harus dilakukan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah berkenaan dan bukannya hanya sekadar pengisytiharan.