KUANTAN – Bekalan air terawat yang didapati masin dan payau sejak kebelakangan ini mendorong penduduk di sekitar daerah ini memilih air mineral untuk diminum.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasaraya sekitar Beserah, Sungai Isap dan bandar Kuantan mendapati air mineral habis dijual sejak dua hari lalu.
Selain itu, cuaca panas susulan fenomena El Nino juga menyebabkan air itu mendapat permintaan tinggi.
Juru jual di sebuah pasar raya, Aishah Abdul Rahman, 33, berkata sejak dua hari lalu, ramai pengguna membeli air mineral botol besar untuk diminum dan memasak.
Menurutnya, rata-rata pelanggan yang mengunjungi pasar raya itu untuk mendapatkan bekalan air mineral disebabkan kebimbangan mereka terhadap taraf kesihatan selepas bekalan air terawat didapati masin dan payau.
“Saya agak terperanjat kerana kebanyakan mereka memborong air mineral bersaiz besar dan saya ada tanya mereka (pelanggan) mengapa beli banyak air mineral.
“Mereka beritahu bekalan air terawat ada rasa payau dan masin, jadi air ini akan digunakan bagi keperluan harian.
“Tetapi ada juga pelanggan beli air mineral disebabkan cuaca panas, bukan disebabkan air payau atau masin,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya terpaksa mendapatkan bekalan air mineral 9 liter dan 5.5 liter disebabkan permintaan tinggi ketika ini.
“Kita akan pastikan bekalan air mineral mencukupi dan dapat memenuhi permintaan semua pelanggan. Setakat hari ini (semalam) lebih 300 botol air mineral dapat dijual dalam sehari,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna, Abdul Malik Marjin, 66, berkata, sejak bekalan air terawat berasa payau, dia terpaksa mencari inisiatif lain iaitu dengan membeli air mineral.
Menurutnya, walaupun bekalan air terawat dijamin selamat diminum, tetapi dia bimbang air tersebut boleh memudaratkan kesihatan.
“Air di rumah saya ada rasa payau, saya bimbang untuk minum air tersebut sebab itu saya terpaksa beli air mineral bagi tujuan memasak dan keperluan harian. Hari ini (semalam) saya borong lebih 10 botol air mineral bersaiz 9 liter.
“Bila dah air terawat tidak lagi rasa payau barulah saya guna air tersebut sepenuhnya, buat masa sekarang bekalan air paip saya hanya guna untuk mandi, membasuh dan sebagainya,” katanya.
Seorang pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Hafiz pula berkata, dia membeli hampir 12 botol air mineral besar sejak air krisis air payau ditambah pula cuaca panas.
Katanya, dia membeli air mineral bagi memastikan keluarga dapat minum air bersih dan selamat.