top of page
muinsapidin

Tiada Beg Plastik, Polisterin 2017

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan pengharaman penggunaan beg plastik dan bekas makanan polisterin mulai tahun hadapan seperti saranan kerajaan negeri, baru-baru ini.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat di peringkat negeri malah pada tahun ini, beberapa aktiviti dirangka termasuk kempen dan alternatif bagi menggantikan beg plastik dan polisterin.

Menurutnya, pada tiga bulan pertama ini, pihaknya mengadakan kempen tanpa penggunaan plastik kepada rakyat melalui program Hari Tanpa Kereta serta forum berkaitan dan diselaraskan di peringkat kerajaan negeri.

“Setakat ini, kita mendapat maklum balas positif dan kerjasama yang baik kerana kebanyakan pusat membeli belah turut melaksanakan kempen ini setiap hujung minggu.

“Malah jika ada pelanggan yang mahukan beg plastik, mereka akan mengenakan caj 20 sen atau 30 sen. Wang tersebut akan digunakan semula untuk kempen pelaksanaan teknologi hijau,” katanya pada Mesyuarat Penuh Majlis April, di sini.

Beliau berkata, tidak menggunakan beg plastik dan polisterin merupakan salah satu daripada kempen teknologi hijau yang diletakkan dalam polisi kerajaan negeri.

Katanya, mereka juga mencari alternatif termasuk menggunakan plastik biodegradasi yang diperbuat daripada bahan seperti hampas tebu, akar kayu, daun-daun cepat mereput.

Selain penggunaan alternatif berkenaan, Zamri berkata, mesyuarat tersebut turut mencadangkan agar diberikan pertimbangan harga sekiranya pelanggan atau kakitangan membawa bekas sendiri.

“Fokus ini mungkin dilaksanakan di jabatan kerajaan, kedai yang diawasi agensi kerajaan, kantin kerajaan kemudian ke badan korporat dan akhirnya secara menyeluruh.

“MBI juga akan berbincang dengan pengusaha kantin MBI. Misalnya, jika kakitangan MBI datang membawa bekas sendiri untuk membeli mi goreng, mungkin akan kurang 10 sen dan sebagainya,” katanya.


16 views0 comments
bottom of page