top of page
muinsapidin

Keluarga Bingung Punca Kematian

ALOR SETAR - Keluarga kepada rakyat Malaysia, Mohd Azhar Abdul Wahab, 33, yang ditemui mati di sebuah bilik hotel di Ho Chi Minh, Vietnam, Rabu lalu, berhasrat membawa pulang jenazah ke kampung halamannya di Kampung Air Merah, Kulim, dengan segera.

Adiknya, Mohd Noorazman, 31, berkata, kos untuk membawa pulang jenazah dianggarkan RM40,000 namun sehingga kini sumbangan masih tidak mencukupi, menyebabkan ahli keluarga tidak dapat menguruskan perkara itu kerana berdepan masalah kewangan.

“Abang saya ke Vietnam pada 12 April lalu bersama seorang rakan sekampung, atau lebih dikenali sebagai Angah, mereka sepatutnya pulang ke kampung 28 April lalu. Namun sehingga kini, kami juga tidak mendapat sebarang khabar berita daripada Angah,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Mohd Azhar yang juga vokalis kumpulan punk, Svatantrata, kelihatan ceria dan tidak menunjukkan beliau dalam kesusahan sebelum bertolak ke negara itu untuk bercuti.

“Dia macam biasa sahaja ketika kali terakhir saya jumpa sebelum ke Vietnam. Abang dan Angah memang berkawan baik sejak kecil,” katanya.

Mohd Noorazman berkata, abangnya menjadi vokalis kumpulan itu sejak beberapa tahun lalu dan sering membuat persembahan di beberapa buah negara sebelum ini, antaranya Singapura, selain aktif di sekitar Kulim dan Kedah.

“Kami tahu tentang kejadian yang menimpa abang pun melalui polis yang memaklumkan perkara itu, sehari selepas kematiannya. Ibu saya sangat terkejut dan saya juga tidak dapat lelapkan mata sejak hari itu, memikirkan apa yang berlaku sebenarnya kerana kami memang rapat,” katanya ahli keluarga turut bingung dengan tragedi yang menimpa mangsa.

Tindakan pantas seorang rakan kepada Mohd Azhar memuat naik kejadian yang menimpa mangsa di Ho Chi Minh mendapat respons positif netizen apabila lebih 4,900 pembaca berkongsi status itu di laman facebook, menyebabkan ramai pihak tampil membantu.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar semalam memaklumkan, mayat Mohd Azhar ditemukan dalam bilik hotel di Ho Chi Minh dan punca kematiannya masih dalam siasatan polis Ho Chi Minh.

Bagaimana pun, laporan media menyatakan mayat Mohd Azhar ditemukan dengan kesan tetak pada bahagian kepala dan bahu, selain terdapat kesan darah pada lantai bilik hotel.

Sementara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri akan membantu keluarga terbabit dalam memudahkan urusan membawa pulang jenazah.


13 views0 comments
bottom of page