WASHINGTON – Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membayar hampir AS$1 juta (RM3.9 juta) untuk mendapatkan teknik membuka kunci iPhone digunakan seorang daripada penembak San Bernardino, kata sumber kerajaan Amerika Syarikat pada Khamis.
Pihak FBI juga boleh menggunakan teknik berkenaan untuk membuka iPhone 5C lain yang menggunakan perisian iOS 9, tanpa bayaran tambahan kepada kontraktor yang menyediakannya, tambah sumber.
Pengarah FBI, James Comey minggu lalu berkata agensi itu membayar lebih untuk mendapatkan iPhone berkenaan jika dibandingkan dengan jumlah gaji yang akan diterimanya sepanjang tugas yang masih berbaki tujuh tahun dan empat bulan lagi.
Jabatan Kehakiman membuka kunci iPhone berkenaan pada Mac dengan bantuan kontraktor selepas Apple Inc enggan memintas ciri keselamatan peranti atas alasan ia boleh menjejaskan keselamatan semua pengguna.
FBI masih memeriksa kandungan iPhone dengan harapan akan membantu mengisi jurang dalam siasatan insiden tembakan Disember lalu yang mengorbankan 14 orang dan mencederakan 22 lain.
Penyiasat sedang mengkaji sama ada penembak, Syed Rizwan Farook dan isterinya Tashfeen Malik, mempunyai sekutu atau rakan subahat lain, kata sumber. Jurucakap FBI enggan mengulas lanjut perkembangan itu. – Reuters/BH ONLINE