TANAH MERAH - Sebanyak 17 kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM1,600 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah ini sepanjang tempoh empat bulan, tahun ini.
Ketua Cawangan KPDNKK Tanah Merah, Wan Mohd Marzuki Wan Abd Kadir berkata, kebanyakan kes dari Januari hingga April itu membabitkan peniaga menggunakan alat timbang tamat tempoh sah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6) akta tersebut.
Menurutnya, bagi pelbagai kesalahan di bawah akta sama sepanjang tahun lalu, sebanyak 32 kes direkodkan KPDNKK daerah ini dengan nilai kompaun sebanyak RM3,300.
“Di bawah seksyen tersebut, peniaga terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM4,000 atau tiga tahun penjara jika disabitkan kesalahan,” katanya pada program ‘stamping point’, di sini, semalam.
Program menyediakan perkhidmatan untuk peniaga membuat pengesahan alat timbang dan sukat itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Metrology Corporation (Malaysia) Sdn Bhd.
Hadir sama, Pengurus Metrology Corporation (M) Sdn Bhd cawangan Kelantan, Abd Ghani Yaakob.
Wan Mohd Marzuki berkata, proses penentusahan semula alat timbangan itu penting bagi memastikan kepentingan pengguna terpelihara dan mewujudkan suasana perniagaan yang adil. “Saya nasihatkan peniaga yang guna alat timbang dan sukat supaya gunakan peralatan yang sah.
“Perbuatan sengaja mengurangi berat timbangan bagi tujuan menipu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, malah diharamkan dalam Islam,” katanya.
Mengenai ‘stamping point’, Wan Mohd Marzuki berkata, program di Pasar Tani Tanah Merah itu adalah yang ketiga tahun ini selepas Pasar Pagi Gual Ipoh dan Pasar Pagi Kuala Balah, Jeli.
“Selain penentusahan semula alat timbang tamat tempoh, program ini menyediakan khidmat baiki dan pembelian alat timbangan baharu serta nasihat perundangan untuk peniaga,” katanya.
Tambahnya, program bersama syarikat terbabit selaku pihak bertanggungjawab menentukan alat timbang dan sukat di pasaran ditentu sahkan semula itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.