top of page
muinsapidin

Pukul Isteri Guna Topi Keledar

KUALA TERENGGANU - Gara-gara berdepan masalah kewangan, seorang suami tergamak memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar semata-mata ingin melepaskan tekanan, dalam satu kejadian di Jalan Panji Alam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang, pasangan suami isteri yang ketika itu berada di rumah telah bertengkar dipercayai berpunca perselisihan faham berhubung masalah kewangan keluarga yang dihadapi sejak kebelakangan ini.

Menurut sumber, dalam pertengkaran kecil itu, si suami telah menuduh mangsa, 27, berkelakuan kurang ajar dengannya sebelum bertindak kejam memukul surirumah malang itu beberapa kali menggunakan topi keledar.

“Suami mangsa seperti orang kurang waras apabila memukul wanita itu dengan kejam tanpa belas simpati meskipun dirayu beberapa kali agar berhenti bertindak sedemikian oleh mangsa kerana sakit.

“Setelah puas melepaskan amarahnya, si suami telah meninggalkan mangsa bersendirian dalam keadaan menanggung sakit akibat perbuatannya itu,” katanya.

Sumber berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit dan bengkak di bahagian kepala.

Dalam masa sama, mangsa mendakwa sebelum ini suaminya kerap kali memarahi dan memukulnya setiap kali berdepan dengan masalah kewangan.

“Tidak tahan melayan karenah suaminya dan tidak sanggup didera lagi, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis demi keselamatan dirinya pada masa akan datang.

“Selain itu, mangsa membuat laporan polis untuk dijadikan rujukan ke mahkamah syariah dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.


3 views0 comments
bottom of page