LUMUT - Usaha sekumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sanggup mengharungi lumpur selama sejam semata-mata mahu pulang ke negara asal secara haram melalui laluan air, berjaya dipatahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.
Pengarah Maritim Daerah 3, Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, seramai 39 lelaki dan lima wanita berusia 14 hingga 58 tahun itu ditemui berhimpit-himpit di dalam sebuah bot barter trade kira-kira 35 batu nautika dari Tenggara Pulau Jarak.
“Semasa Operasi Khas Satria Utara (OKSU) di sekitar perairan Malaysia, kita melihat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dan Kapal KM Marlin bertindak menahannya.
“Apabila diperiksa didapati seramai 44 warganegara Indonesia ada di bahagian perut bot secara berhimpit dan dipercayai menaiki bot berkenaan di Hutan Melintang,” katanya.
Zulinda berkata, siasatan mendapati, kesemua mereka terpaksa mengharungi perjalanan di dalam lumpur selama sejam sebelum dapat menaiki bot yang akan membawa mereka ke Tanjung Balai, Indonesia, pada jam 2 pagi.
Beliau berkata, mereka memilih laluan haram itu kerana berpendapat ia lebih murah dan jalan mudah untuk sampai ke tanah air mereka.
“Bayaran yang dikenakan sebanyak RM500 hingga RM800 seorang dan warga asing ini datang dari pelbagai sektor pekerjaan serta lokasi.
“Kesemua mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dan Seksyen 5(2) dan 6(1) Akta Imigresen kerana gagal menunjukkan dokumen sah serta cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak sah,” katanya.