top of page
muinsapidin

El Nino : Pastikan Kualiti Makanan Terpelihara - Exco

IPOH: Para peniaga bazar Ramadan dinasihatkan agar memastikan proses penyediaan makanan sentiasa berada dalam keadaan berkualiti meskipun berhadapan dengan cuaca musim panas dan kemarau El Nino di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, musim panas bukanlah satu alasan bagi peniaga kecil untuk mengabaikan kebersihan dan kualiti makanan diabaikan begitu sahaja.

Gambar Hiasan

Menurut beliau, antara perkara paling utama adalah penggunaan sumber air yang bersih mestilah diterapkan oleh penjaja di bazar Ramadan ketika menyediakan makanan jualan.

"Apatah lagi dengan fenomena El Nino dan masalah kemarau ketika ini, kualiti makanan yang disediakan oleh peniaga mestilah bersih bagi mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, di Hotel Casuarina Meru,Jelapang pada petang Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa sumber air akan menjadi satu masalah utama kepada golongan peniaga, namun mereka perlu berikhtiar untuk menyediakan makanan dan air yang berkualiti kepada pelanggan.

Dalam perkembangan lain, Samsudin juga mengingatkan kepada kumpulan peniaga yang membuat pinjaman Skim Bazar Ramadan (SBR) agar membayar balik hutang mereka kepada pihak berwajib.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin meminta mereka melunaskan tanggungjawab dan membayar balik sejumlah RM3,000 kepada kami agar dapat membuka peluang kepada mereka yang lain untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Pinjaman ini memang bersifat longgar dan untuk membantu golongan peniaga awal namun setelah tempoh masa fleksibel diberikan sekian lama, mereka masih mengambil remeh dan enggan membayar balik,"ujarnya.

Harapannya, agar mereka yang masih gagal berbuat demikian segera melaksanakan pembayaran balik agar tidak membantutkan peluang bagi peniaga lain untuk mencari rezeki, khususnya di bulan Ramadan.


21 views0 comments
bottom of page