KUALA LUMPUR: Dua anggota polis cedera parah akibat ditetak pengedar atau tokan dadah ketika menjalankan operasi di sebuah rumah kosong di Kampung Tangki Air, Cheras, malam tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata Koperal Muztaza Nizan Minhaj dan Konstabel Danny Sia Siaw Kian dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, cedera di kepala selepas diserang suspek.
Dalam kejadian 6 petang itu, pasukan polis melakukan pemeriksaan di lokasi berkenaan yang disyaki menjadi tempat kumpulan penagih dadah melepaskan gian selain dipercayai menjadi tempat pengedaran dadah, katanya dalam kenyataan kepada media. "Polis mengarahkan dua suspek di dalam rumah berkenaan supaya keluar namun kedua-duanya secara tiba-tiba meluru keluar melalui pintu hadapan rumah itu yang berkunci dan bertindak melibaskan parang yang terkena kepala kedua-dua anggota polis itu. "Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri ke belukar berhampiran," katanya. Beliau berkata, kedua-dua anggota polis itu dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan. Katanya, Sia menerima 14 jahitan akibat kecederaan itu manakala Muztaza masih dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan.