BAGAN SERAI - Kerajaan pusat disaran melaksanakan kajian terperinci mengenai potensi mewujudkan telaga air bawah tanah sebagai alternatif penyelesaian jangka panjang sumber bekalan air di kawasan empangan berisiko kering di negara ini pada musim kemarau.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, saranan dibuat setelah pihaknya mendapati pecahan kegunaan bekalan air mentah oleh penduduk negara ini daripada sumber air bawah tanah hanya mencakupi 1.5 peratus sahaja.
Dr Noor Azmi(tengah) bersama sebahagian wakil PIBG sekolah-sekolah Parlimen Bagan Serai yang hadir
Menurutnya, peratusan itu jauh lebih rendah berbanding sumber air sungai digunakan penduduk Malaysia sebanyak 83.5 peratus dan empangan (14.6 peratus) ketika ini.
"Sewaktu menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana semalam(kelmarin), pelbagai agensi kerajaan memberi pelbagai cadangan bagi menyelesaikan isu paras air empangan Kolam Bukit Merah kritikal untuk jangka masa pendek dan panjang.
Dr Noor Azmi Ghazali
"Pembinaan telaga air bawah tanah (tubewell) turut dicadang, namun terdapat kebimbangan kewujudan banyak telaga itu akan mendatangkan risiko berlaku mendapan tanah dan 'sink hole' sebagaimana didakwa sering berlaku di negara Indonesia.
"Namun, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) difahamkan sudah mewujudkan telaga bawah tanah untuk kegunaan lebih 1,000 penuntut dan kakitangan melalui kepakaran universiti sendiri dan terbukti berjaya,"katanya kepada media pada Majlis Apresiasi Rakyat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) sekolah-sekolah seluruh Parlimen Bagan Serai.
Dr Noor Azmi berkata, inisiatif mewujudkan telaga bawah tanah sebenarnya dilaksanakan banyak pemain industri perkilangan di sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu bagi menangani krisis bekalan air yang kerap berlaku.
Selain itu, beliau mendedahkan teknologi telaga air bawah tanah turut digunakan secara meluas di negara Thailand, Belanda dan Indonesia bagi mengurangkan kebergantungan sumber bekalan air dari sungai dan empangan.
"Saya difahamkan UKM mempunyai ramai pakar 'hydro geologist' yang boleh membantu kerajaan pusat dalam melaksanakan kajian dan mereka bentuk telaga air bawah tanah bersesuaian di setiap kawasan yang kritikal bekalan air ketika musim kemarau.
"Saya turut dimaklumkan kos mewujudkan telaga air bawah tanah yang kebiasaannya dikorek sedalam 200 meter adalah jauh lebih murah dan efisien berbanding kos diperlukan kerajaan bagi melaksanakan cadangan mendalamkan empangan Kolam Bukit Merah,"katanya.
Dr Noor Azmi berkata, selain cadangan telaga air bawah tanah, antara cadangan penyelesaian lain bekalan air empangan Kolam Bukit Merah kritikal adalah melalui usaha Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) mendalamkan kolam dan membuang gambut di dasar kolam.
Selain itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri Perak turut mencadangkan ketinggian ban empangan berusia 110 tahun itu ditambah bagi memastikan kapasiti bekalan air disimpan meningkat.
"Kerajaan negeri Perak turut mencadangkan projek pemindahan air Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah dianggarkan RM1.2 bilion meliputi pembinaan laluan pemindahan air sejauh 25 kilometer dilaksanakan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.
"Saya difahamkan kos mendalamkan empangan amat mahal, kerja 10 peratus membuang gambut di dasar Kolam Bukit Merah sahaja dianggarkan bernilai RM40 juta.
"Manakala cadangan alternatif JPS memendekkan pembinaan laluan pemindahan air Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah kepada 14 kilometer dan mengurangkan penilaian kos kepada lebih RM200 juta masih dianggap terlalu tinggi untuk dilaksanakan segera,"katanya.
Berikutan itu, Dr Noor Azmi berpendapat cadangan pembinaan telaga air bawah tanah perlu dipandang serius kerajaan pusat bagi penyelesaian jangka masa segera dengan mengambil kira kejayaan UKM mewujudkan bekalan air bawah tanah stabil ketika ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa kerajaan negeri Perak mempertingkatkan pemantauan terhadap isu pencerobohan kawasan tadahan hujan sebagaimana didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini.
Menurutnya, kawasan tadahan hujan dan rizab Kolam Bukit Merah amat penting dipelihara dan dipulihara agensi kerajaan bertanggungjawab bagi memastikan sekuriti bekalan air untuk kegunaan penduduk setempat tidak terjejas.
"Saya minta pihak kerajaan menggariskan setiap tindakan diambil agensi berkaitan dalam membendung aktiviti pencerobohan kawasan tadahan hujan yang dikatakan serius.
"Kegelojohan manusia menceroboh kawasan tadahan air mampu menjejaskan kawasan empangan dan saya berharap tindakan penguatkuasaan berterusan diambil segera,"katanya