IPOH: Polis Perak menangkap seorang lelaki berikutan tindakannya yang dikatakan menghina agama Islam dalam komen di laman sosial Facebook pada pagi Khamis.
Tangkapan itu dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap suspek di Kamunting, Taiping.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, lelaki tersebut telah menggunakan nama M. Gunalan dalam komen di Facebook yang bersifat menjatuhkan agama Islam pada September lepas.
Menurut beliau, tangkapan itu dilakukan sekitar 10 pagi dan pihak polis mendapati suspek berusia 38 tahun itu berasal dari Kg Station, Kuala Kangsar.
"Polis turut merampas tiga buah telefon bimbit milik suspek dan satu beg porch berwarna biru," katanya dalam satu kenyataan media pada malam Khamis.
Abdul Rahim berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.