IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh mengeluarkan perintah pada Jumaat untuk menghantar seorang pelajar perubatan yang menghadapi tuduhan merosakkan patung sebuah kuil Ahad lalu supaya menjalani pemerhatian dan rawatan lanjut selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
Hakim Ikmal Hishan membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim agar pelajar tersebut, Fathi Munzir Nadzri, 29, di hantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian serta rawatan lanjut selama sebulan dan boleh dilanjutkan sekiranya perlu.
Hakim turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Fathi Munzir mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ikmal Hishan.
Fathi Munzir dituduh melakukan perbuatan itu di Kuil Sree Muneeswaran Amman di Jalan Hospital, Ipoh kira-kira jam 5 petang pada 24 april lalu.
Dia didakwa mengikut seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Fathi Munzir juga didakwa atas tuduhan memiliki senjata berbahaya pada tarikh dan masa yang sama. Dia dituduh mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1985 yang membawa hukuman 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.