BAGAN SERAI – Keputusan kerajaan pusat tidak mengisytiharkan kawasan empangan Kolam Bukit Merah sebagai kawasan bencana perlu diterima dengan hati terbuka.
Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali berkata sebagai wakil rakyat kawasan bencana dan juga salah seorang ahli Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana beliau akur dengan keputusan kerajaan pusat.
Menurutnya, keputusan kerajaan pusat itu wajar setelah mengambil kira implikasi yang perlu ditanggung dari segi kewangan dan perundangan sebelum pengisytiharan kawasan bencana dibuat.
"Bagaimanapun, saya berharap bantuan pampasan dapat disalurkan segera kepada golongan pesawah terjejas, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan dan perayaan Aidilfitri bakal menjelang tiba.
"Selain itu, kerajaan pusat juga perlu mengambil perhatian terhadap implikasi negatif ditanggung pemain industri pelancongan resort, Pulau Orang Utan dan pengusaha ikan arowana yang turut terjejas akibat bekalan air empangan sangat kritikal ketika ini,"katanya ketika dihubungi.
Dr Noor Azmi diminta mengulas keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Menangani Bencana di Putrajaya baru-baru.