IPOH - Kerajaan Perak akan terus berusaha membantu petani yang terjejas disebabkan cuaca panas serta kering akibat fenomena El-Nino bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Datuk Saarani Mohamad berkata usaha dan langkah yang perlu diambil akan dibincangkan pada Mesyuarat Penetapan Status Empangan Bukit Merah esok.
Beliau berkata mesyuarat yang diadakan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
"Turut hadir pada mesyuarat itu Exco negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Majlis Keselamatan Negera, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan dan Yayasan Bina Upaya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kerajaan belum memutuskan tentang mengisytiharkan Bukit Merah yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering akibat El-Nino, sebagai kawasan bencana kerana perlu meneliti aspek perundangan dan kewangan berkaitan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya hari ini.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu, Saarani berkata kerajaan negeri menerima keputusan yang diumumkan timbalan perdana menteri itu.
Sementara itu, Zainol yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak berkata beliau meminta kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan kepada pesawah kerana mereka tidak dapat menanam padi akibat kekurangan bekalan air di Empangan Bukit Merah.
"Kerajaan persekutuan diharap dapat menyalurkan bantuan dalam bentuk sagu hati, walaupun bantuannya tidak sama seperti (bantuan) banjir atau ribut kerana apa yang berlaku ini memberi kesan kepada pendapatan mereka," katanya.