top of page
muinsapidin

250 Jemaah Tunai Solat `Istisqa’ Di Masjid Sultan Azlan Shah

IPOH - Kira-kira 250 jemaah menunaikan solat `Istisqa’ di parkir Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat bagi memohon hujan berikutan cuaca panas kering yang berlarutan akibat Fenomena El-Nino yang berlaku.

Solat `Istisqa’ dua rakaat itu yang bermula jam 9.00 pagi dipimpin oleh Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan.

Antara Jemaah yang hadir termasuk semua jemaah masjid, pelajar-pelajar Tahfiz Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) dan murid-murid Tadika Islam Perak.

Sebelum solat itu bermula, Syed Mohd Muzaffar telah menyampaikan khutbah tentang tata cara pelaksanaan solat `Istisqa’ kepada para jemaah.

Beliau menerangkan bahawa solat itu bertujuan memohon kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi memenuhi semula sungai-sungai, empangan dan telaga yang semakin kering untuk dimanfaatkan oleh umat manusia dan segala hidupan lain.

Katanya, umat Islam diperingatkan supaya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan.

Menurut Syed Muzaffar, antara bala daripada Allah ialah dia tidak menurunkan hujan dengan cuaca panas yang begitu terik sebagaimana yang sedang dihadapi ketika ini sehingga menyebabkan manusia, binatang dan sebagainya menghadapi kesukaran.

``Kita mesti memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan daripada Allah di atas segala dosa dan kesilapan yang dilakukan.

``Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat sehingga lebih banyak bala berlaku seumpama suburnya program maksiat sama ada dalam rumah tangga, masyarakat, negara dan melalui kemudahan maklumat seperti TV, media cetak, internet dan sebagainya yang melambangkan sebahagian daripada kita tidak bersungguh untuk bertaubat kepada Allah," katanya.


22 views0 comments
bottom of page