IPOH: Usah malu membawa bekal ke tempat kerja, itulah nasihat Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man kepada warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang kini membawa bekas bekalan makanan sendiri ke tempat kerja masing-masing.
Menurut beliau, langkah itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai negeri bebas polisterin dan plastik menjelang Jun tahun hadapan.
Justeru itu, kata beliau, amalan warga MBI itu boleh memberi contoh terbaik kepada warga Ipoh khususnya.
Beliau memberitahu, kini kebanyakan kakitangan dan pegawai, termasuk dirinya sendiri sudah mula membawa bekas makanan dan air ke tempat kerja untuk menyokong inisiatif murni kerajaan negeri tersebut.
“Idea ini dikemukakan oleh kerajaan negeri, namun sebenarnya kami telah memulakan beberapa program sebagai langkah dan saluran awal untuk menunjukkan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh MBI bagi bulan April di Dewan Mesyuarat MBI pada Khamis.
Zamri berkata, antara aktiviti yang telah dijalankan MBI untuk memelihara alam sekitar ialah hari tanpa kereta (car free day), forum dan advokasi mengenai bahaya penggunaan plastik, menukarkan bahan elektrik kepada bahan LED untuk penjimatan voltan dan menasihatkan orang ramai untuk mengikuti langkah kakitangan MBI.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam perangkaan pelan persediaan untuk menjadikan Perak sebagai negeri bebas polisterin dalam masa tujuh bulan lagi.
Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga telah mengemukakan cadangan untuk menggantikan polisterin dan plastik dengan bahan bio-degradable yang diperbuat daripada elemen organic dan cadangan itu masih dalam pertimbangan.
“Malah, kami juga mencadangkan agar mereka yang membawa bekas sendiri mendapat diskaun harga kerana ia akan memotivasikan mereka.
“Buat masa ini, langkah untuk mengubah mentaliti masyarakat untuk lebih peka dengan alam sekitar perlu bermula daripada kesemua agensi kerajaan, korporat dan badan swasta,” katanya lagi.