top of page
muinsapidin

Penduduk Kampung Enggor Bimbang Fenomena 'Sungai Darah'

SUNGAI SIPUT: Fenomena air sungai bertukar menjadi warna merah pekat setiap Sabtu dan Ahad mendatangkan kerisauan di kalangan penduduk Kampung Enggor di Sungai Siput.

Menurut penduduk, sungai berada dalam keadaan normal sepanjang lima hari bekerja, namun hanya bertukar merah pada hujung minggu.

Ramai juga yang yakin bahawa kejadian luar biasa itu merupakan kesan pencemaran sungai berikutan bau air yang tengik busuk di samping jumlah hidupan juga telah berkurangan.

Megat Jamil Megat Hashim, 46, berkata, isu pencemaran tersebut bukanlah baru, sebaliknya telah dikesan sejak empat tahun lepas dan berlarutan sehingga kini.

Menurut beliau, penduduk percaya bahan dan sisa tercemar telah dilepaskan pada hari tertentu untuk mengelakkan daripada dihidu pihak berkuasa kerana pencemaran sebegitu hanya berlaku pada hujung minggu.

“Yang amat kami risaukan, sungai ini juga mengalir ke Sungai Perak, jadi mungkin pencemaran juga dibawa ke sana dan bekalan air di sekitar Kuala Kangsar juga mungkin terjejas.

"Malah, boleh dikatakan tiada lagi ikan di sungai ini. Dulu, banyak udang galah di sini namun sekarang yang tinggal hanya sungai tercemar dengan bau yang sangat busuk," katanya kepada Suara Perak.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Qarieb Khairuddin, 47, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung pernah mencari punca kepada pencemaran tersebut dan mereka yakin telah menjumpainya.

Begitupun, katanya, dia berharap pihak berkaitan turun padang dan sama-sama pergi ke lokasi berkenaan supaya punca sebenar dapat dikesan sekaligus mengatasi masalah itu.

"Pihak yang buat onar terhadap sungai ini sudah pastinya terus mendapat keuntungan tetapi orang kampung yang terjejas. Kami cintakan alam sekitar dan kami tidak akan diam abila perkara ini terjadi.

"Dulu sungai ini jadi tempat mandi-manda penduduk kampung, namun kini tiada yang berani mandi. Kalau mandi, mulalah badan rasa gatal-gatal.

Jelas Ahmad Qarieb, penduduk enggan menuding jari kepada mana-mana pihak dan hanya berharap bahawa pihak berkenaan menyelesaikannya secara baik berikutan tempoh pencemaran yang sudah cukup lama.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Sungai Siput, Rafli Md Nor, 43, menegaskan beberapa laporan telah dibuat termasuk laporan polis dalam usaha menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, penduduk kampung mengharapkan tidakan daripada pihak berkaitan dan apabila tiada tindakan diambil, mereka mula menimbulkan pelbagai spekulasi.

"Mengikut daripada maklumat orang kampung, mereka telah mengesan beberapa lokasi dipercayai menjadi punca berlakunya pencemaran di sungai tersebut.

"Jadi, saya tidak rasa alasan gagal menemui punca pencemaran boleh diterima penduduk kampung. Jika mereka boleh jumpa, pihak berkaitan pastinya lebih arif dengan situasi tersebut.

"Mereka boleh masuk ke lokasi-lokasi tersebut namun mereka merasakan lebih wajar sekiranya mereka datang bersama-sama dengan pihak berkuasa," ujarnya.

Sehubungan itu, wartawan Suara Perak telah mendapatkan komen daripada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, Abdul Razak Abdul Manap berikutan isu yang merunsingkan penduduk Kg Enggor itu.

Abdul Razak berkata, pihaknya telah menjalankan sesi lawatan pemeriksaan ke sungai berkenaan namun masih gagal menemui punca sebenar kejadian.

“Kali terakhir kita pergi bersama orang kampung adalah 24 April lepas dan mereka memberi kerjasama untuk bersama mencari punca sebenar, kerana perkara ini terjadi secara on and off.

“Pihak JAS negeri tidak menolak kemungkinan bahawa ianya berpunca daripada aktiviti penyembelihan ternakan di kawasan sekeliling,” katanya lagi.

Abdul Razak berkata, maklumat lanjut perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah dan juga Jabatan Veterinar namun pihaknya masih akan menjalankan siasatan secara berterusan.


44 views0 comments
bottom of page