top of page
muinsapidin

Muzium TLDM Bakal Dibina Di Lumut

LUMUT - Sebuah muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertaraf antarabangsa bakal dibina di persisiran pantai Lumut dan dijangka siap pada tahun 2018.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan kawasan untuk membina muzium berkenaan di kawasan seluas 6 ekar (2.4 hektar) yang akan ditambak dan terletak di kawasan luar pangkalan TLDM Lumut.

Menurut beliau, perancangan itu telah pun mendapat sokongan dan persetujuan dari kerajaan negeri yang akan turut menjadikan muzium itu sebagai ikon pelancongan Perak.

"Saya telah mengangkat sembah maklum kepada Sultan Selangor sebagai Kapten Yang Dipertua TLDM dan Sultan Perak dan kedua-dua Tuanku berasa senang dan menyokong hasrat TLDM untuk mewujudkan muzium.

"Dengan adanya muzium ini ia akan menjadi salah satu ikon negeri Perak yang mana pelancong yang hadir akan merasai sendiri pengalaman dan mempelajari peranan TLDM," katanya pada satu sidang media di Lumut pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membaca perutusan pada Hari TLDM ke 82 dan merasmikan Majlis Pelancaran Internet Jalur Lebar Bersepadu Pangkalan Lumut, Portal Rasmi TLDM berwajah baharu, Sistem Pengurusan Sumber Manusia (SPSM) dan Laman Sesawang Pusat Sumber Maritim dan Sejarah TLDM.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Panglima Bantuan, Laksamana Madya Datuk Abdul Ghani Othman.

Ahmad Kamarulzaman berkata, muzium itu akan mengenengahkan konsep “touch, feel and experience” bagi menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung selain memaparkan artifak sejarah TLDM.

“Muzium berkenaan bakal menunjukkan kelainan dari segi kualiti daripada muzium TLDM yang terdapat di Melaka.

"Sebaik sahaja muzium berkenaan siap dibina, kemungkinan sebahagian kapal lama yang telah dilucut tauliah akan dihadiahkan untuk diletakkan di dalam muzium berkenaan untuk dilawati,” jelasnya.

Terdahulu, Ahmad Kamarulzaman bersama Dr Zambry turut menyertai Perbarisan Istiadat sempena Hari TLDM ke-82 yang melibatkan sepuluh kontinjen yang terdiri daripada 21 pegawai dan 553 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk pengawal medan.


72 views0 comments
bottom of page