IPOH – Setelah berjaya menjadi penaja kepada pasukan bola sepak Kelantan, jutawan kosmetik Dr Vida melahirkan hasrat membantu membangunkan sukan bola sepak negeri Perak.
Menurut Dr Vida atau Datuk Dr Hasmiza Othman impiannya adalah untuk membina satu kemudahan pusat latihan bagi melahirkan gnerasi yang lebih ‘celik’ bola sekaligus mampu mencungkil lebih ramai bakat-bakat baru dalam sukan ini.
Justeru beliau meluahkan hasrat memohon untuk membeli atau menyewa sebidang tanah daripada kerajaan negeri bagi merealisasikan impiannya.
“Saya merasakan latihan kepada pemain-pemain bola tempatan harus dipertingkatkan memandangkan prestasi mereka masih ditahap yang kurang memuaskan.
"Saya ingin memohon tanah sama ada untuk disewa atau beli menerusi PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah keusahawanan bertajuk "Kuasai Minda Pelanggan Dengan Jenama" pada program TM BizFest2016 di Casuarina Meru, baru-baru ini.
Katanya lagi, beliau sering ke luar negara tetapi bukanlah semata-mata makan angin mahupun berbelanja, tetapi meluangkan masa melihat atau berjumpa pemain-pemain bola sepak luar negara bagi mendalami teknik permainan bola sepak.
Beliau yang juga penaja pasukan bola sepak The Red Warrior Kelantan berkata hasil daripada pemerhatian beliau pemain bola sepak di negara ini terlalu jauh ketinggalan daripada banyak segi dalam industri bola sepak.
Faktor tersebut, menurutnya telah menyebabkan Malaysia tidak boleh maju dalam bidang bola sepak.
Sementara itu, Dr Vida turut melahirkan rasa terkilannya dengan pengurusan pasukan berkenaan yang mempertikaikan tajaannya.
"Saya boleh taja, tetapi dengan syarat duit tajaan itu saya sendiri yang pegang dan jika mahu digunakan (wang tajaan), saya memerlukan dokumen sokongan yang sahih,"jelas usahawan yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan kosmetik negara.
Beliau juga dikenali dengan anak kelahiran Kelantan tetapi telah lama menetap di Ipoh.