top of page
muinsapidin

Cadangan Isytihar Bukit Merah Kawasan Bencana Diputuskan Esok

BUKIT MERAH - Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Mengenai Bencana yang bermesayuarat pada Khamis akan membuat keputusan samada akan mengisytiharkan Bukit Merah sebagai kawasan bencana atau tidak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mesyuarat itu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut akan membincangkan langkah jangka pendek dan panjang untuk menghadapi musim kemarau.

Menurut beliau, antara cadangan yang akan dibincangkan ialah pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, mendalamkan empangan yang dibina sejak 1902 itu, pembinaan empangan kedua di Lembah Beriah dan pembinaan telaga tiub.

"Timbalan Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai semua cadangan itu esok," katanya kepada pemberita selepas melawat Empangan Bukit Merah di sini pada Rabu.

Dalam lawatannya itu, Shahidan turut melakukan tinjauan udara untuk melihat sendiri keadaan di sekitar empangan tersebut.

Selepas itu, beliau dijadualkan membuat lawatan ke Empangan Timah Tasoh di Perlis yang turut merasai kesan daripada fenomena El Nino yang dikatakan sangat kuat sekarang.

Shahidan berkata, beliau akan membentangkan laporan lawatannya ke dua-dua empangan itu dalam mesyuarat esok.

Beliau meberitahu, hasil tinjauan udara, didapati terdapat kesan hutan terbakar di kawasan tadahan air sekitar Empangan Bukit Merah yang boleh menjejaskan kawasan tadahan air.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa daerah dan negeri dapat mempastikan kawasan tadahan air terpelihara, termasuk daripada aktiviti pertanian.

"Pejabat daerah jangan biarkan sesiapa memasuki kawasan tadahan air, termasuk memberi TOL (lesen menduduki sementara) dan semua pihak harus berhati-hati dalam hal ini," ujarnya.


9 views0 comments
bottom of page