top of page
muinsapidin

Bahang El-Nino: Penyaman Udara Jadi Sasaran Pencuri

PARIT BUNTAR - Permintaan tinggi pada musim panas kali ini menyebabkan alat penyaman udara menjadi sasaran pencuri dalam kejadian pecah masuk premis di sebuah kedai elektrik di Jalan Keli, di sini awal pagi kelmarin.

Sebahagian televisyen dilarikan suspek yang memecah masuk premis awal pagi kelmarin.

Gmabar kecil: Keadaan pintu masuk premis kedai elektrik mangsa diumpil suspek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, pada jam 6.30 pagi, pemilik kedai elektrik berusia 50-an itu terkejut daripada tidur apabila mendapati sistem penggera kedai yang dihubungkan menerusi telefon bimbitnya berbunyi.

Menurutnya, mangsa segera bergegas ke premis niaga dan terkejut mendapati pintu masuk bahagian hadapan premis terbuka seolah-olah sudah dimasuki orang.

“Mangsa mendapati sebuah televisyen LED jenama Philips berukuran 62 inci, televisyen Smart 3G jenama Sony dan sebuah komputer riba jenama Lenovo sudah lesap dilarikan pencuri.

“Lebih mengejutkan, kumpulan pencuri ini turut mengambil dua unit penyaman udara jenama Daikin dan Midea.

“Mungkin disebabkan fenomena El-Nino dan cuaca panas melampau, permintaan terhadap alat penyaman udara tinggi menyebabkan kumpulan suspek turut mencuri alat itu,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mohd Radzuan berkata, mangsa mengalami kerugian lebih RM17,000 dalam kejadian pecah masuk itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis mengenal pasti sejumlah tiga suspek terlibat melalui rakaman CCTV.

“Modus operandi kumpulan ini dipercayai hampir sama dengan sebuah kumpulan suspek yang diberkas tahun lalu apabila menggunakan topi dan pakaian sukan bagi mengaburi rakaman CCTV.

“Mereka juga menggunakan dua kereta Proton Waja berwarna perak bagi memunggah barang-barang curi,” katanya.

Mohd Radzuan turut percaya ketiga-tiga suspek itu merupakan saki-baki ahli kumpulan suspek dicekup tahun lalu kerana mencuri pelbagai barangan elektrik di sebuah kedai elektrik terkemuka dekat sini.


23 views0 comments
bottom of page