IPOH – Polis mengesahkan bahawa penahanan seorang lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua bendera tidak berkaitan dengan kumpulan militan IS.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, sebaliknya suspek berusia 29 tahun itu disahkan mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan psikiatri sebelum ini.
Orang ramai berkumpul di hadapan kuil di Jalan Raja Ashman Shah setelah kuil diceroboh.
“Kita merujuk suspek ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK). Kita juga akan merujuk kertas siasatan kes ini kepada Pengarah Perundangan Negeri secepat mungkin untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang pernah mendapat pendidikan di sebuah universiti luar negara ini mempunyai masalah mental dan tidak terlibat dengan kumpulan IS,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.
Pada masa sama, Abdul Rahim meminta orang ramai tidak memutar belit kejadian itu sehingga boleh menggugat ketenteraman dan kesejahteraan negeri ini.
“Saya beri amaran, jangan cuba-cuba menimbulkan ketidakharmonian antara agama hingga menggugat keamanan dan keselamatan negeri ini,” katanya.
Malam kelmarin, polis berjaya memberkas seorang lelaki yang menceroboh dan memecahkan sembilan patung dewa sebuah kuil di Jalan Raja Ashman Shah, di sini,
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang, suspek dipercayai memecahkan patung dewa itu dengan menggunakan parang.
Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki kereta Proton Iriz menghala ke Jalan Ghazali Jawi terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian dengan memandu secara melawan arus sebelum terbabas melanggar hentian bas.
Bagaimanapun suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sungai Senam untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu menyebabkan kuil berkenaan menjadi tumpuan penganut hindu dan polis menutup jalan selama beberapa jam bagi mengawal keadaan sehingga selesai jam 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek dipercayai menggunakan parang yang ditemui dalam kuil untuk memecah sembilan patung dewa berkenaan.
“Lelaki itu mempunyai masalah mental dan dirawat di HBUK selama dua minggu mulai hari ini (semalam),” katanya.
Katanya, terdapat seorang sami menyaksikan perbuatan suspek dan pemeriksaan pada kenderaan suspek turut menemui dua bendera dengan tulisan jawi.