IPOH- Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Ab d Kadir menegaskan bahawa tiada cuti umum pada 6 Mei depan seperti yang menjadi viral dalam media sosial.
Menurut beliau, berita berhubung cuti umum itu adalah tidak benar kerana ia merupakan kenyataan yang dikeluarkan tahun lalu bersempena pertabalan Sultan Perak ketika itu.
Beliau berkata, hebahan cuti pada 6 Mei telah menjadi kontroversi dan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia sama sekali tidak benar kerana telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat Perak.
“Tiada cuti pada 6 Mei dan ia adalah kenyataan yang dikeluarkan pada tahun lepas berkaitan dengan hari Pertabalan Sultan Perak tetapi kembali dihebahkan di media sosial dan ia adalah tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
Sehubungan dengan itu Dr Zambry meminta semua pihak supaya tidak lagi menggunakan kenyataan tersebut kerana dikhuatiri akan terus mengelirukan masyarakat.