IPOH - Polis Perak berjaya merampas 14.5 kilogram heroin bernilai RM280,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 40-an di tempat parkir Hentian Sebelah Taiping Lebuhraya Utara - Selatan pada Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siastan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Supt Abdul Latiff Mehat berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu telah ditahan ketika berada dalam kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 12.40 tengahari.
"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui satu beg berwarna hitam berisi 10 paket besar plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 4,510 gram bernilai RM90,000," katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa.
Kata beliau, pada Sabtu pula, bertindak atas aduan orang awam, Polis telah menyerbu sebuah pondok di kawasan estate, Simpang dekat Taiping dan menjumpai 20 bungkusan dadah jenis sama dengan anggaran berat 10 kilogram serta alatan memproses dadah.
Beliau berkata serbuan yang dilakukan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan itu, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.
"Walaupun tiada tangkapan dibuat, polis telah merampas peralatan yang dipercayai untuk kegunaan memproses dadah iaitu timbang, alat penapis, generator, alat penyukat warna, baldi, besen, tong gas, tong drum, dapur gas, kuali, selain tiga buah motosikal.
“Kedua-dua kes dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan untuk penagih dadha lebih kurang 12,000 orang dan ianya disyaki untuk edaran di sekitar Perak," ujarnya.
Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.