top of page
muinsapidin

KUISAS Meterai Perjanjian Kerjasama Akademik Dengan LSBM

IPOH - Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) terus melangkah kehadapan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi pilihan yang sentiasa mengutamakan kecemerlangan dalam akademik negara.

Bagi merealisasikan matlamat itu KUISAS telah memeterai satu memorandum Perjanjian Kerjasama Akademik dengan London-School Of Business & Management (LSBM) dan Universiti Northampton dalam usaha meningkat mutu pendidikan pelajarnya.

Majlis menandatangani perjanjian itu telah disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

KUISAS diwakili Rektornya, Tan Sri Nordin Kardi manakala LSBM diwakili Pengarahnya, Bob Hartley.

Nordin semasa bercakap kepada pemberita berkata, menerusi kerjasama itu, pelajar KUISAS yang cemerlang berpeluang menjalani pembelajaran selama satu semester di LSBM London.

``Pelajar yang dalam tempoh pengajian dengan KUISAS boleh pergi ke sana dan akan mendapat ijazah daripada Universiti Northampton.

``Jika ingin belajar selama dua semester, pelajar berpeluang mendapat dua ijazah, satu dari KUISAS dan satu daripada London School of Business Management, khusus buat bagi semester tahun akhir,’’ katanya.

Menurut Nordin, program tersebut bertujuan membantu dan menarik pelajar cemerlang bagi menyertai KUISAS selain berpeluang menyambung pengajian di Universiti Northampton.

``Tiada kriteria khusus tapi kelebihan kepada pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang untuk menyertainya,’’ ujarnya.

Beliau juga memberitahu bahawa LSBM turut memberi peluang kepada KUISAS dengan menawarkan program peringkat Master di London.

Nordin berkata, pada masa ini program tersebut dibuka untuk pengajian Diploma Pentadbiran Perniagaan, Perbankan dan Kewangan Islam, Perakaunan, Teknologi Maklumat dan Multimedia serta Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagan dan Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam.


2 views0 comments
bottom of page