IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menlahirkan rasa kesal berhubung kejadian seorang lelaki merosakkan patung-patung dewa di sebuah kuil di Jalan Hospital, di sini, pada Ahad. Menurut beliau, perkara yang seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menimbulkan masalah di dalam negeri dan juga dari segi hubungan antara kaum dan agama di Perak serta negara.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang sengaja bertindak mencetuskan huru-hara dengan perbuatan seumpama itu. “Begitu juga kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan daripada peristiwa ini untuk memulakan perbalahan serta pergaduhan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Sehubungan dengan itu beliau menyeru kepada semua pihak supaya bertenang dan bekerjasama bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Katanya, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama mengekalkan keamanan dan memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang pantas dan segera bagi menyelesaikan itu. “Apabila ia berlaku seperti ini, dalam media sosial dan sebagainya, kita kena bekerja bersama-sama memastikan supaya perkara-perkara seperti ini tidak sewenang-wenangnya dimain-mainkan oleh mana-mana pihak kerana ia sangat sensitif,” ujarnya. Menurut Dr Zambry, isu berkaitan agama adalah sangat serius, apatah lagi apabila berlaku perbuatan seumpama itu yang mengganggu gugat tempat ibadat sesuatu agama.