SERI MANJUNG - Kebanjiran warga asing di daerah ini dilihat semakin membimbangkan penduduk tempatan.
Ahli Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Ir Ong Kean Sing berkata, jumlah sebenar warga asing tidak dapat dipastikan kerana tidak ada statistik jelas yang dikeluarkan.
Pakaian juga disidai di tingkap dan boleh mencacatkan pemandangan.
“Kita tidak dapat mengklasifikasikan berlakunya kebanjiran warga asing di daerah ini kerana tidak ada jumlah tepat yang kita peroleh, namun kita dapat melihat memang ramai warga asing di sini.
“Namun begitu kita juga tidak dapat pastikan sama ada mereka ada dokumen sah atau tidak untuk tinggal dan bekerja di kawasan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Kean Sing berkata, tenaga kerja asing diperlukan dalam sektor tertentu terutamanya perladangan dan pembinaan.
“Jika warga asing ini tinggal di daerah ini untuk bekerja dan ada kerja, rasanya tidak ada masalah, namun yang mendatangkan masalah ialah mereka yang tidak ada kerja.
“Bila tak ada kerja, kita khuatir mereka ini akan melakukan sesuatu yang tidak baik termasuklah masalah jenayah atau masalah sosial lain.
“Perkara ini yang harus dielakkan dan pihak berkuasa perlu memandang serius jika berlaku masalah seumpama ini,” katanya.
Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Sitiawan, Tajul Azmir Mustapa berkata, pihak penguatkuasaan perlu lebih tegas dalam mengekang kedatangan warga asing.
Menurutnya, perkara itu harus dilihat secara lebih meluas kerana ia melibatkan pelbagai masalah termasuklah dari segi kesihatan.
“Jika dilihat kawasan tempat tinggal warga asing ini terutama mereka yang menyewa di bahagian atas rumah kedai, kebersihan amat mengecewakan.
“Kita risau jika warga asing ini bawa wabak penyakit tertentu, kita tak tahu status kesihatan mereka berbanding warga tempatan yang mendapat pelbagai suntikan tertentu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Manjung, Mohd Mohd Ghani menyarankan supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas yang diketuai pegawai daerah bagi menangani isu berkaitan warga asing.
Katanya, ada lokasi tertentu di daerah ini terutamanya di kawasan Kampung Acheh menjadi tempat tinggal warga asing.
“Begitu juga kawasan pekan boleh dikatakan wujudnya kelab-kelab malam di mana sebilangannya dikunjungi warga asing,” katanya.