KUALA SEPETANG – Seorang penternak ikan sangkar di sini, kerugian hampir RM200,000 selepas kesemua anak ikan yang dimasukkan ke dalam sangkar mati akibat ElNino.
Ong Keng Leong, 42, berkata, minggu lalu, dia baharu sahaja memasukkan kira-kira 10,000 anak ikan tilapia ke dalam sangkar bagi menggantikan ikan-ikan yang mati bulan lalu.
Anak ikan mati selepas sehari dimasukkan ke dalam sangkar.
Namun menurutnya, keesokan harinya dia mendapati kesemua anak ikan itu juga mati.
“Anak ikan ini mati mungkin disebabkan cuaca panas melampau ketika ini," katanya.
Keng Leong berkata, setakat ini, dia memiliki hampir 30 sangkar ikan pelbagai jenis seperti siakap dan tilapia.
“Walaupun sudah beberapa kali ikan di dalam sangkar mati, namun saya tidak boleh menghentikan operasi ternakan kerana pada awal Mei nanti ramai pelancong dari luar negara akan berkunjung ke sini.
“Mereka pasti ingin melihat ikan di dalam sangkar ini,” katanya.
Katanya, dalam masa tiga hari lagi, dia akan memasukkan anak-anak ikan ke dalam sangkarnya.
“Kali ini saya berharap masalah tersebut tidak akan berulang dan anak-anak ikan dapat membesar tanpa sebarang masalah.
“Ia penting kerana majoriti ikan-ikan yang sedia ada sudah banyak mati dan kita tidak mahu apabila pelancong luar datang, sangkar kosong,” katanya.
Sementara itu, Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling berkata, beliau meminta supaya pihak kerajaan negeri membuat siasatan terperinci terhadap kematian ikan yang berlaku.
“Sebelum ini, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Pulau Pinang menjalankan siasatan mengenai kemerosotan kerang di Kuala Sepetang.
“Bagaimanapun, sehingga kini pihak IPP belum lagi membuat siasatan terhadap kejadian kematian ikan.
“Dalam masa terdekat, saya akan mendesak IPP datang menyiasat supaya satu laporan yang saintifik dapat dikemukakan,” katanya.