PARIT BUNTAR - Seorang pelajar sekolah menengah nyaris menjadi mangsa cabul seorang pencuri yang memecah masuk sebuah rumah keluarganya di Kampung Bagan Tiang, di sini, awal pagi Khamis lalu.
Tindakan suspek disedari bapa mangsa, Md Shohor Awang, 58, yang terdengar jeritan meminta tolong dari bilik tidur anak perempuannya kira-kira jam 4.10 pagi.
Menurut Md Shohor yang tidur di bilik tetamu, sebaik sahaja dia keluar dari bilik, dia terlihat kelibat suspek seorang lelaki yang berlari ke arah dapur untuk melarikan diri.
“Saya segera ke bilik tidur anak perempuan saya dan mendapati dia sedang duduk di sisi katil dalam keadaan terkejut dan trauma.
“Apabila ditanya, dia beritahu ada seorang lelaki berusia lingkungan 20-an masuk ke biliknya dan cuba mencabul kehormatannya sewaktu tidur,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Keselamatan dan Kebajikan (PSKK) Islam Kerian, Sohaimi A Hamid dan ahli jawatankuasanya.
Md Shohor berkata, sebaik mengetahui perkara itu, dia memeriksa bahagian dapur rumah dan terkejut mendapati pintu belakang rumah terbuka luas.
Katanya, dia segera mengejutkan isteri yang tidur bersama dua lagi anaknya di bilik tidur utama dan terkejut apabila mendapati bilik itu turut digeledah.
“Saya segera memaklumkan kejadian itu kepada penghulu pada pagi hari kejadian sebelum dinasihatkan membuat laporan di Balai Polis Tanjung Piandang, di sini pada jam 10 pagi.
“Setelah pemeriksaan susulan dibuat, kami mengenal pasti duit simpanan anak perempuan kami untuk membayar keperluan sekolah bernilai RM80 turut lesap,” katanya.
Ibu mangsa, Rohaya Mohd Kardi, 43, berkata, sewaktu laporan polis dibuat, pihaknya dimaklumkan satu kes hampir sama turut berlaku melibatkan dua adik-beradik perempuan di Kampung Parit Sungai Labu Atas, di sini pada hari sama.
“Kami dimaklumkan terdapat seorang suspek memecah masuk rumah jam 1 pagi.
“Kejadian seumpama ini amat membimbangkan penduduk kampung dan kami berharap rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan kawasan rukun tetangga (KRT) di seluruh kampung dapat dihidupkan semula bagi mengelakkan lebih ramai anak gadis jadi mangsa,” katanya.