top of page
muinsapidin

Kecoh Patung Dewa Kuil Dimusnahkan

IPOH - Kekecohan berlaku akibat tindakan seorang lelaki yang merosakkan patung-patung dewa di Kuil Sri Muneeswaran Amman di hadapan Angsana Mall, Jalan Hospital, di sini pada petang Ahad.

Ekoran kejadian itu kira-kira 300 orang dari masyarakat India telah membuat bantahan di hadapan kuil sambil meluahkan perasaan marah mereka sehingga berlaku kesesakan di jalan berkenaan.

Bagaimanapun tindakan pantas polis telah berjaya mententeramkan keadaan dan meredakan kemarahan masyarakat India di kawasan kuil tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong, seorang suspek lelaki Melayu berumur 29 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap suspek yang dikatakan tidak siuman.

``Pihak polis menasihat orang awam supaya tidak menimbulkan isu bahawa ini adalah satu kejadian perkauman dan jika suspek betul-betul tidak siuman makna apa yang dibuat oleh dia adalah sesuatu diluar kawalan dia bukan untuk menghina apa-apa agama,’’ katanya.

ACP Sum berkata demikian kepada pemberita selepas melawat untuk melihat kerosakan patung-patung dewa di kuil berkenaan pada Ahad.

Menurut beliau, dalam kejadian jam 5.10 petang itu, sebuah kereta yang dipandu suspek telah memasuki ke dalam kawasan kuil berkenaan dan suspek kemudiannya dikatakan bertindak memusnahkan sembilan patung dewa sebelum melarikan diri.

Katanya, polis yang mendapat maklumat berjaya menangkap suspek setelah kereta yang dipandunya melawan arus di Jalan Ghazali Jawi terbabas apabila melanggar satu perhentian bas.

Sementara itu Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango yang juga Pengerusi MIC Perak meminta pihak polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap suspek.

``Ini boleh mencetuskan perbalahan antara kaum, jadi saya bagi pihak semua rakan-rakan di sini, bagi pihak MIC Perak dan jawatankuasa kuil sekali lagi menggesa Ketua Polis Perak dan Ketua Polis Negara mengambil tindakan yang sekeras-kerasnya terhadap suspek dalam kes ini,’’ katanya.

Menurut beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah bersetuju membantu pihak jawatankuasa kuil untuk membaiki semula kerosakan yang telah berlaku.


18 views0 comments
bottom of page