IPOH - Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil, Jalan Raja Ashman Shah, berhampiran Angsana Mall Ipoh, yang dirosakkan individu yang dipercayai kurang siuman pada Ahad petang. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sumbangan itu akan diserahkan kepada pihak pengurusan kuil berkenaan bagi membaik pulih sembilan patung dewa dan kerosakan pada patung lain.
Dr Mah berkata, beliau difahamkan selain baik pulih, pihak kuil turut akan mengadakan upacara keagamaan dan perkara yang berkaitan selepas insiden terbabit. “Kerajaan negeri mengecam perbuatan terkutuk itu. Kita amat sedih dengan perkara yang berlaku dan berharap baik pulih ini dapat dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kuil berkenaan, pada Isnin. Dalam pada itu, Dr Mah turut menjelaskan bahawa suspek berusia 29 tahun itu bukan merupakan kakitangan kerajaan kerana dia hanya berkerja selama lima hari sebagai doktor pelatih di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh sebelum meletak jawatan baru-baru ini. Menurut beliau, berdasarkan prosedur Kementerian Kesihatan, seseorang individu yang baru tamat pengajian perlu bekerja sekurang-kurangnya sebulan untuk mengesahkan jawatan sebagai kakitangan kerajaan. “Dia bekerja kurang dalam tempoh satu bulan dan secara efektifnya menolak tawaran bekerja, pada 22 April lalu, dia telah menyerahkan surat berhenti notis 24 jam. “Melalui siasatan juga kita mendapati dia memang ada menjalani rawatan mental untuk penyakit Bipolar” ujarnya. Justeru itu, Dr Mah memohon agar orang ramai bertenang terhadap insiden berkenaan serta tidak terlibat dalam sebarang tindakan di luar batasan undang-undang dan menyerahkan kepada pihak polis melakukan siasatan.