top of page
muinsapidin

Bumbung Tiga Sekolah Terbang

IPOH – Bumbung bangunan di tiga buah sekolah sekitar bandar raya ini tercabut dan diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang berlaku lewat petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu mengakibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh, Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Chai mengalami kerosakan teruk di bumbung dan beberapa bahagian bangunan yang lain.

Pengetua SMK Jalan Pasir Puteh, Nor Azizan Abdullah berkata, beliau menerima panggilan kira-kira jam 6.15 petang daripada pengawal keselamatan berhubung kejadian itu dan tiba di sekolah sejam kemudian.

Menurutnya, sebelum itu berlaku hujan, petir serta angin bertiup kencang sehingga mengakibatkan bumbung surau dan bilik guru program pendidikan khas terbang.

“Rentetan insiden itu, dua unit komputer, pencetak serta dokumen pelajar yang ditempatkan di dalam bilik guru rosak terkena air. Selain itu, bahagian siling surau turut retak akibat kejadian tersebut.

“Justeru, kita akan menyediakan sebuah bilik sembahyang sementara untuk pelajar dan kakitangan memandangkan surau tersebut tidak selamat untuk digunakan,” katanya.

Katanya, pihaknya masih belum dapat menganggarkan nilai kerugian sebenar kerana terdapat beberapa kerosakan lain berlaku di sekitar bangunan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pengawal keselamatan, Saharuddin Aris, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika sedang membuat rondaan di sekitar sekolah.

“Kejadian itu berlaku kira-kira tiga minit dan saya segera menghubungi pengetua bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut,” ujarnya yang memaklumkan ketika kejadian semua pelajar telah pulang.

Dia berkata, insiden tersebut adalah pertama berlaku sejak dia mula bekerja dua tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SJKC Sam Chai, Law Kok Hoong ketika dihubungi memberitahu, sekolah berkenaan mengalami kerugian hampir RM20,000 akibat bumbung yang rosak di beberapa buah blok.


24 views0 comments
bottom of page