top of page
muinsapidin

YBU Rai 82 Anak Yatim Dalam Program Cherish Moment

IPOH - Seramai 82 anak yatim dari sekitar Ipoh diraikan dalam program Cherish Moment anjuran Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dengan kerjasama Perak Transit pada petang Sabtu.

Kesemua anak-anak yatim yang datang dari empat buah rumah kebajikan di sekitar daerah Kinta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang diadakan di perkarangan Terminal Aman Jaya itu.

Antara aktiviti yang mendapat perhatian kebanyakan kanak-kanak cilik itu adalah pertandingan menggunting rambut, mewarna poster dan lakaran karikatur serta sambutan ulang tahun rakan-rakan mereka.

Ketua Pegawai Operasi YBU, Hairul Anwar Mohamed Noor berkata program itu diadakan bagi mengembirakan anak- anak cilik berkenaan selain memastikan mereka tidak rasa terpinggir ketika membesar di kalangan masyarakat.

"Kita harap dengan mengadakan program di luar rumah anak yatim sedikit sebanyak mampu menceria dan mengembirakan mereka apabila berpeluang bergaul dengan orang luar.

"Kadang-kadang apabila ketiadaan ibu bapa. semangat mereka kurang, mungkin rasa terpinggir berbanding kanak-kanak lain, jadi inilah harapan kita, bukan sahaja mahu mengukir senyuman di wajah mereka malah memberi rangsangan agar terus berjaya di masa hadapan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kotak makanan kepada penyelia bagi empat rumah anak yatim yang terlibat dalam program tersebut.

Hairul berharap, selepas ini lebih banyak pihak swasta dapat bekerjasama dengan YBU dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu, sekali gus dapat menambah bilangan rumah anak yatim yang diraikan.

Pada program tersebut, Perak Transit juga turut menyampaikan wang tunai berjumlah RM1,500 kepada empat buah rumah anak yatim iaitu Salvation Army Boys Home, Salvation Army Children Home, Anning Home dan Vision Home.

Sementara itu, penjaga Vision Home, Erika Robert berkata, beliau mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak kerana rumah anak yatim itu bergantung sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai.

"Mana-mana pihak yang ingin memberikan bantuan, tidak kira wang ringgit atau mengadakan aktiviti untuk anak-anak di sini, kami amat menghargainya," katanya.


11 views0 comments
bottom of page