GERIK: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 59, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli pada petang Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, seorang lelaki tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Kancil dan maut di tempat kejadian.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Pegawai Bomba Kanan Meor Muhammad Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar 5.09 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Kancil dan Honda City serta mendapati seorang lelaki tersepit di kenderaannya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada malam Sabtu.
Menurutnya, tiga lagi mangsa yang berada dalam kereta Kancil itu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.
Meor berkata, empat lagi individu yang berada di dalam kereta Honda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
"Kesemua mangsa yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam dan operasi tamat sepenuhnya sekitar 07.53 malam," ujarnya.