top of page
muinsapidin

Rebat Khas TNB Akibat El-Nino Dinanti - Pemuda UMNO Beruas

BERUAS - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beruas menyokong penuh gesaan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat memberi rebat khas ke atas pengguna kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat penggunaan elektrik berlebihan semasa musim El-Nino ini.

Ketuanya, Ir Mohd Sharizal Abdul Alibu berkata, dengan cuaca panas yang melampau, sudah tentu pengguna terpaksa menggunakan penghawa dingin atau kipas angin secara optimum yang meningkatkan jumlah bil elektrik mereka lebih daripada kadar biasa.

Menurut beliau, gesaan itu memang ada kebenarannya dan perjuangan Pemuda UMNO untuk melihat syarikat TNB memberi rebat khas tidak sewajarnya diperlekehkan oleh masyarakat.

“Pemuda Beruas menyokong gesaaan Khairul Azwan agar rebat khas atau diskaun tunai diberikan kepada pengguna yang terkesan daripada penggunaan tenaga elektrik yang tinggi akibat cuaca panas melampau ketika ini.

"Kita yakin dengan pemberian rebat khas ini sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan pembelanjaan bulanan pengguna secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ir. Mohd Sharizal berkata, adalah tidak munasabah dakwaan segelintir individu menganggap gesaan Khairul Azwan itu merupakan satu langkah populis oleh beliau.

“Pada ketika ini harga bahan bakar yang merupakan kos secara langsung untuk pengurusan loji janakuasa sememangnya telah berkurang akibat kejatuhan komoditi minyak dunia, justeru itu tidak ada masalahnya jika Pemuda UMNO Malaysia memohon kepada TNB memberi rebat khas ini," tambahnya lagi.

Ir. Mohd Sharizal yang juga seorang jurutera elektrik berkata, beliau akan menghantar kertas cadangan rebat khas itu kepada Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Abd Manaf Hashim yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas.

"Kami Pemuda UMNO Beruas yakin dengan kepimpinannya dan sudah tentu sebagai wakil rakyat yang prihatin, beliau dapat memberi pandangan mengenai perkara ini kepada pihak pengurusan TNB seterusnya meluluskan rebat khas ini, akhirnya kita yakin semua pengguna akan mendapat manfaatnya," katanya.


44 views0 comments
bottom of page