BUKIT MERAH - Seramai 12 orang warga asing diberkas dalam Operasi Bersepadu melibatkan enam agensi kerajaan di kawasan arah selatan R&R Bukit Merah awal malam Sabtu.
Mereka yang diberkas terdiri daripada lima lelaki warga Myanmar, dua warga Indonesia, dua warga Thailand, seorang warga Nigeria, seorang warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan.
Menurut pegawai Jabatan Siasatan Trafik Bukit Aman, ASP Hazilrez Mohd Ghazali, operasi bersepadu itu yang bermula 9 malam hingga 12.00 malam membabitkan 86 pegawai dan anggota dari PDRM, Jabatan Imigresen, JPJ, SPRM, PLUS-Propel dan AADK.
Katanya, kesemua warga asing terbabit diberkas kerana memasuki negara ini tanpa memiliki dokumen yang sah.
Menurut beliau, dalam operasi itu juga sebanyak 49 saman telah dikeluarkan oleh pihak polis dan JPJ kepada pemilik kenderaan termasuk lori dan bas kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, polis dan JPJ juga telah memeriksa 150 kenderaan serta menahan dua orang penagih dan tiga lelaki kerana memiliki dadah dalam operasi tersebut.