KUALA TERENGGANU - Seorang surirumah terpaksa menanggung azab apabila dibelasah dengan sebatang penyapu oleh suaminya tanpa diketahui punca, dalam satu kejadian di Perumahan Awam Batu Hampar, Manir, di sini, Selasa lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang, ketika mangsa, 22, berada di rumah berseorangan sebelum dikejutkan dengan kehadiran suaminya, 20, dalam keadaan marah-marah.
Menurut sumber, suami mangsa yang memang ‘terkenal’ dengan sikap panas baran mendekati mangsa sebelum memukulnya menggunakan sebatang penyapu tanpa belas kasihan.
“Suami mangsa seperti dirasuk apabila tergamak memukul di bahagian bahu, kepala serta muka mangsa tanpa menghiraukan rayuan surirumah itu agar berhenti berbuat demikian kerana sakit dan langsung tidak tahu punca dia diperlakukan sebegitu.
“Mangsa mendakwa sehari sebelum itu pun suaminya ada memukulnya menggunakan wayar komputer riba kerana hanya tidak mematuhi arahannya agar jangan sesekali bergerak dari tempat duduk, sebaliknya mangsa terpaksa bergerak kerana lenguh,” katanya.
Sumber berkata, ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh suaminya, mangsa mengalami kecederaan dan sakit di seluruh badannya.
Jelasnya, disebabkan sudah tidak sanggup lagi menjadi mangsa dera suaminya, surirumah itu nekad membuat laporan polis untuk tindakan susulan selain untuk dijadikan rujukan pihak Mahkamah Syariah.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.