LUMUT - Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menghulurkan sumbangan untuk pembinaan surau baharu di Markas Pemerintahan Armada (MK PA) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Surau yang bakal dibina dengan kos RM500,000 itu sekaligus akan memberi kemudahan serta keselesaan kepada warga TLDM untuk menjalankan aktiviti keagamaan.
Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pembinaan surau itu sudah tentu akan meringankan beban warga sebaik sahaja ianya siap dibina.
"Pembinaan surau ini tepat kerana pada masa ini aktiviti keagamaan dan solat berjemaah bagi Markas Armada, Markas Udara TLDM, dan Markas Kejuruteraan TLDM serta kapal-kapal di jeti operasi dilaksanakan dalam tempat yang sempit.
“Ianya juga agak sukar bagi warga yang lain ingin berjemaah untuk solat Zohor dan Asar di Masjid An-Nur kerana jarak yang jauh dan singkat pada waktu pejabat," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis pecah tanah pembinaan surau tersebut pada Jumaat.
Tambah beliau, pihaknya juga akan memastikan surau itu dijadikan pusat pembentukan dan pembangunan insan di samping mempelbagaikan fungsi serta peranannya setelah siap kelak.
Dalam pada itu, Dr Zambry berkata sumbangan tersebut merupakan tanggungjawabnya selaku seorang wakil rakyat (Pangkor) dan juga Menteri Besar.
Beliau berharap pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membina surau itu dapat menyiapkannya dengan lancar tanpa sebarang penangguhan.
“Saya juga harap semua ‘The Navy People’ akan menggunakan surau ini dengan sebaik-baiknya dalam melaksanakan amalan-amalan kerohanian," katanya ketika berucap dalam majlis yang sama.